Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025

1 - 3 Ogos 2025 | 9am - 10pm | Sabah International Convention Centre (SICC)

Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025

1 - 3 Ogos 2025 | 9am - 10pm | Sabah International Convention Centre (SICC)

Sabah penyumbang utama sektor agromakanan negara – Arthur

TAWAU – Sabah merupakan antara penyumbang utama kepada sektor agromakanan negara dengan sumbangan sekitar tujuh hingga 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri setiap tahun.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, daerah Tawau turut memainkan peranan besar dalam menyumbang kepada sektor perikanan dan akuakultur di Sabah.

“Di daerah Tawau sahaja telah direkodkan lebih 27,000 metrik tan perikanan tangkapan atau 13.5 peratus, manakala sektor akuakultur pula menyumbang sekitar 67,000 metrik tan, iaitu 27.3 peratus daripada keseluruhan hasil akuakultur negeri,” katanya.

Arthur menyempurnakan majlis pelepasan Konvoi Bermotor Road To HPPNK 2025 di pekarangan MPT Tawau.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Road To Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang diadakan di pekarangan Majlis Perbandaran Tawau (MPT), di sini pada Sabtu.

Katanya lagi, bagi menyokong pengeluaran makanan dan kelangsungan sektor agromakanan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah memperuntukkan sebanyak RM86.66 juta pada tahun ini untuk melaksanakan 42 projek pembangunan pertanian, perikanan dan ternakan di Sabah.

Sementara itu, bercakap mengenai kebajikan nelayan, pelbagai inisiatif turut dilaksanakan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Ini termasuk Elaun Sara Hidup Nelayan yang memanfaatkan lebih 38,000 nelayan di seluruh negara, termasuk 7,496 di Sabah.

“Skim subsidi diesel dan petrol juga diteruskan, dengan 5,600 nelayan di Sabah menerima manfaat harga subsidi RM1.65 seliter.

“Selain itu, RM2 juta turut disalurkan di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) di Sabah termasuk RM300,000 di Tawau yang memanfaatkan 15 keluarga.

“Bantuan melalui Tabung Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan (TBBAKN) sehingga Mei 2025 pula telah memberi manfaat kepada 74 nelayan di Sabah,” katanya.

Pada majlis sama, Arthur turut menyempurnakan majlis pelepasan Konvoi Bermotor Road To HPPNK 2025 yang akan menjelajah ke beberapa daerah di Sabah termasuk Sandakan, Nabawan, Keningau, Papar dan Kota Kinabalu sebelum berakhir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Beliau berkata, program pra-HPPNK itu adalah platform untuk mendekatkan kerajaan dengan komuniti agro di Sabah, khususnya golongan peladang, penternak dan nelayan yang merupakan tunjang keterjaminan makanan negara.

Source: https://www.sinarharian.com.my/article/737292/edisi/sabah-sarawak/sabah-penyumbang-utama-sektor-agromakanan-negara—arthur