Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025

1 - 3 Ogos 2025 | 9am - 10pm | Sabah International Convention Centre (SICC)

Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025

1 - 3 Ogos 2025 | 9am - 10pm | Sabah International Convention Centre (SICC)

HPPNK 2025 Siri 2 @ Sook himpun lebih 10,000 pengunjung, 98 usahawan tempatan serta 14 agensi, rakan strategik

SOOK: Lebih 10,000 pengunjung dijangka akan hadir pada Program Road to Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 Siri 2@Sook yang berlangsung di Pekarangan Tapak Parkir Food Court di sini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, program itu juga melibatkan seramai 98 usahawan tempatan serta 14 agensi dan rakan strategik.

Katanya, ia sekali gus menjadikan program itu sebagai antara penganjuran berskala besar di kawasan pedalaman Sabah. 

Katanya, bertemakan ‘Kudrat Kami Menjamin Pertiwi’, program ini menampilkan 15 segmen utama termasuk Agro Millenia, Klinik Orang Muda, E-Games, Teknologi Pertanian, Robotic & IOT, Segmen Ternakan, Perikanan, Padi serta pameran dan jualan Agro MADANI.

“Program Road to HPPNK ini bertujuan menghargai sumbangan peladang, penternak dan nelayan dalam menjamin keterjaminan makanan negara/

“Selain itu, ia juga menggalakkan penglibatan golongan muda dalam bidang agromakanan,” katanya kepada media selepas merasmikan Program HPPNK 2025 Siri 2 @ Sook, hari ini.\

 Arthur menyampaikan replika cek kepada seorang penerima.
SERAH: Arthur menyampaikan replika cek kepada seorang penerima.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, antara tarikan utama program termasuk jualan 3,000 pek beras dengan harga RM26, jualan 2,000 kg ayam segar, dan 1,000 kilogram produk sayur-sayuran segar yang dibawa terus dari ladang.

Selain itu katanya, pesta jualan buah-buahan tempatan seperti limau bali, bambangan dan tarap sebanyak 8,000 kg, serta pengedaran 1,000 anak pokok buah dan bunga turut ditawarkan kepada pengunjung.

“Nilai sasaran jualan keseluruhan sepanjang program ini diunjurkan sebanyak RM200,000…mencerminkan potensi besar pemasaran luar bandar dalam menjana pendapatan kepada usahawan tani setempat,” katanya.

 Arthur semasa membuat tinjauan ke atas hasil-hasil pertanian
TINJAU: Arthur semasa membuat tinjauan ke atas hasil-hasil pertanian

Dalam pada itu, program itu turut menyaksikan penyampaian cek cura kepada penerima Geran Pemilikan Jentera Pertanian Kecil dari PPK Tenom, Kuala Penyu dan Beaufort, Geran Agropreneur Muda Scale-Up KPKM serta Geran Agrobazaar FAMA Sabah 2025. 

Arthur berkata, KPKM melalui agensinya, FAMA, percaya penganjuran ini bukan sahaja merapatkan jurang bandar-luar bandar dari aspek akses pasaran dan teknologi, malah menyuntik semangat baharu kepada warga tani Sabah untuk terus melangkah ke hadapan.

Terdahulu dalam ucapannya, Arthur berkata, HPPNK merupakan platform untuk menghargai sumbangan dan peranan golongan peladang, penternak dan nelayan dalam pembangunan sektor agro-makanan negara. 

 Arthur bersama tetamu kehormat lain semasa tiba di majlis itu.
KETIBAAN: Arthur bersama tetamu kehormat lain semasa tiba di majlis itu.

Katanya, penganjuran HPPNK 2025 Peringkat Kebangsaan dijadualkan berlangsung pada 1 sehingga 3 Ogos bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu dan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri. 

“Tahun ini adalah tahun yang cukup istimewa kerana kita meraikan 50 tahun sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK). 

“Lebih istimewa lagi adalah kali ini, sambutan HPPNK Peringkat Kebangsaan kita bawakan kembali ke Sabah.

“Kali terakhir Sabah menjadi tuan rumah HPPNK ialah pada 1995,” katanya.

Beliau berkata, tema sambutan HPPNK pada tahun ini iaitu ‘KUDRAT KAMI MENJAMIN PERTIWI’ sangat bertepatan dan menggambarkan semangat, dedikasi dan tanggungjawab para peladang, penternak dan nelayan dalam memastikan keselamatan makanan negara demi kesejahteraan rakyat. 

“Road to HPPNK pula, kita bawakan program HPPNK namun dalam skala yang sedikit kecil ke kawasan luar bandar. 

“Kita telah melaksanakan program Road to HPPNK Tawau pada awal Julai yang lalu (5 sehingga 6 Julai 2025) dan bermula hari ini (18) sehingga 20 Julai 2025 kita bawakan kemeriahan HPPNK ke Daerah Sook,” katanya.

Katanya, Road to HPPNK bukan sekadar pameran hasil tani semata-mata, tetapi menjadi platform padanan perniagaan, demonstrasi teknologi moden dan perkongsian ilmu dalam sektor pertanian. 

Menurutnya, ia juga berfungsi sebagai platform terbaik mendekatkan kerajaan dengan komuniti agro di kawasan pedalaman Sabah, sekali gus mengurangkan jurang antara kerajaan dengan pihak berkepentingan, industri, pengeluar dan usahawan agro.

Katanya, pemilihan Sook sebagai lokasi penganjuran adalah sangat tepat dan strategik kerana daerah ini mencerminkan kekuatan sebenar ekonomi luar bandar yang berasaskan pertanian, penternakan, perladangan dan perusahaan kecil sederhana yang berteraskan kepada sektor agromakanan. 

“Sebagai Timbalan Menteri dan juga wakil rakyat daripada zon Pedalaman Sabah, saya tidak mahu melihat masyarakat yang berada di luar bandar tercicir daripada menikmati manfaat daripada program-program yang memberikan impak yang besar kepada masyarakat di luar bandar,” katanya.

 Arthur semasa meninjau teknologi pertanian yang dipamerkan pada majlis itu.
TEKNOLOGI: Arthur semasa meninjau teknologi pertanian yang dipamerkan pada majlis itu.

Pada masa sama Arthur percaya kawasan luar bandar atau pedalaman mempunyai potensi yang amat luas dalam sektor agromakanan.

“Tidak dinafikan tanah-tanah kita di sini subur…sebagai contoh, kawasan pedalaman Sabah antara pengeluar utama kopi, tanaman avocado, kita ada Ladang Dato Yap pengeluar susu terbesar di Sabah dan kalau di bandingkan buah pamelo kita dengan pamelo di Semenanjung rasanya jauh lebih berbeza,” katanya.

Source: https://www.utusanborneo.com.my/2025/07/18/hppnk-2025-siri-2-sook-himpun-lebih-10000-pengunjung-98-usahawan-tempatan-serta-14-agensi