SERDANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 menyasarkan empat juta pengunjung sepanjang 10 hari pelaksanaannya mulai 28 Ogos hingga 6 September 2026.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sasaran itu mampu menjana nilai jualan langsung mencapai RM58 juta, serta mengumpulkan penyertaan 2,000 pempamer.
Katanya, penganjuran MAHA 2026 dilihat penting sebagai salah satu usaha untuk menarik minat anak muda bagi menceburi bidang pertanian.
“Hasil dapatan Banci Pertanian 2024 menunjukkan 45 peratus penggiat sektor pertanian terdiri daripada golongan berusia 60 tahun ke atas, manakala hanya tiga peratus adalah dalam lingkungan umur 15 hingga 30 tahun.
“Jurang generasi ini membimbangkan dan memerlukan perhatian segera dan penumpuan khusus.
“Kita mahu pada masa hadapan, Malaysia menjadi antara pengeluar utama makanan di rantau ini. Justeru, pembabitan lebih ramai generasi muda perlu digerakkan dari sekarang.
“Bagi MAHA 2026, sasaran awal yang sudah ditetapkan termasuk pembabitan 800,000 belia dalam pelbagai program dan aktiviti,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra Pelancaran MAHA 2026 di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dan Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak.
Berkongsi pencapaian MAHA 2024, Mohamad berkata, seramai 5.5 juta pengunjung hadir, jauh melepasi sasaran awal sebanyak tiga juta orang.
“MAHA 2024 juga mencatatkan prestasi membanggakan apabila nilai jualan langsung mencapai RM48.5 juta.
“Selain itu, sebanyak 81 memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) bernilai RM7.2 bilion turut berjaya dimeterai sepanjang acara terbabit.
“Pencapaian ini membuktikan MAHA bukan sekadar pameran, tetapi sebuah platform strategik yang berupaya menggerakkan ekosistem agromakanan negara ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Beliau menjelaskan penganjuran MAHA 2026 dan program-program ‘Road to MAHA 2026’ tahun ini akan menekankan nilai Malaysia MADANI yang mana, acara itu tidak sekadar mempamerkan kehebatan teknologi dan kemampuan sektor agro- makanan negara, tetapi turut mengiktiraf komitmen, ketabahan dan usaha gigih para petani, nelayan dan penternak.
“Dalam masa sama, aspek penjanaan kekayaan melalui sektor pertanian perlu terus ditonjolkan.
“Melalui nilai daya cipta, pelbagai bentuk aktiviti inovatif dan interaktif akan dirangka bagi menarik minat pengunjung, sekaligus mewujudkan ‘wow factor’ yang lebih segar dan berimpak tinggi,” katanya.
Beliau berkata, antara pengisian utama MAHA pada edisi kali ini termasuklah Pavilion Negeri, pameran teknologi pertanian tempatan dan antarabangsa, persembahan laser dan air, agro safari dan pelbagai segmen lain yang berimpak tinggi.
“Keseluruhan pengalaman ini bukan saja memberi pengetahuan dan pendedahan baharu kepada pengunjung, namun turut menyemarakkan minat serta membina kesedaran masyarakat, khususnya golongan muda, untuk menceburi bidang pertanian,” katanya.
Sumber: Berita Harian


