Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025

1 - 3 Ogos 2025 | 9am - 10pm | Sabah International Convention Centre (SICC)

Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025

1 - 3 Ogos 2025 | 9am - 10pm | Sabah International Convention Centre (SICC)

Program Road to HPPNK platform terbaik dekati komuniti agro di Sabah

TAWAU: Program Road to Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang berlangsung di Sabah tahun ini disifatkan sebagai platform terbaik untuk merapatkan hubungan antara kerajaan dan komuniti agro.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ia juga menjadi medium dalam menyampaikan inisiatif serta dasar agromakanan negara secara terus kepada rakyat.

Katanya, HPPNK kali ini sangat bermakna kerana ia kembali ke Sabah selepas hampir tiga dekad, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkasa sektor agromakanan di negeri ini.

“Ini kali pertama Sabah menjadi tuan rumah HPPNK selepas 30 tahun, yang pernah disambut pada 1995. Lebih istimewa kita akan menyambut ulang tahun ke-50 penganjuran HPPNK bertemakan ‘Kudrat Kami Menjamin Pertiwi’ pada 1 hingga 3 Ogos 2025 di SICC, Kota Kinabalu,” katanya pada majlis pelancaran program berkenaan.

Menurutnya, Sabah mempunyai potensi besar dalam sektor agromakanan dan menyumbang antara tujuh hingga 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri setiap tahun.

Katanya, bagi memperkukuh sektor ini, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan sebanyak RM86.66 juta tahun ini bagi melaksanakan 42 projek pembangunan merangkumi bidang pertanian, perikanan dan penternakan di seluruh Sabah.

“Sebanyak RM29.38 juta daripada jumlah itu disalurkan khusus kepada 19 projek ‘quick win’. Antaranya termasuk pembangunan plot pengeluaran nanas varieti ‘Sabah Volcanic Sweet’ (SVS) seluas empat hektar di Quoin Hill, Tawau.

“Semua inisiatif ini bukan sahaja menjamin keterjaminan makanan negara, tetapi turut mencipta peluang pekerjaan dan merangsang ekonomi luar bandar,” katanya.

 Arthur menyampaikan bantuan kepada komuniti nelayan di Sabah.
BANTUAN: Arthur menyampaikan bantuan kepada komuniti nelayan di Sabah.

Arthur berkata, Tawau memainkan peranan penting dalam sektor perikanan Sabah apabila mencatatkan 13.5 peratus daripada jumlah perikanan tangkapan dan 27.3 peratus dalam sektor akuakultur negeri ini.

“Penternakan udang, ikan marin, kerang-kerangan dan perikanan air tawar di Tawau semakin berkembang pesat dan menjadi sumber pendapatan utama komuniti nelayan tempatan,” katanya.

Beliau berkata, dalam menjaga kebajikan nelayan, kementerian menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) terus menyediakan pelbagai insentif seperti Elaun Sara Hidup Nelayan, subsidi diesel dan petrol, dan bantuan bencana.

Menurutnya, tahun ini, seramai 7,496 nelayan di Sabah menerima elaun sara hidup, manakala lebih 5,600 nelayan mendapat manfaat subsidi bahan api.

“Di Tawau sahaja, seramai 34 penerima nelayan B40 menerima peralatan seperti pukat dan tong insulasi bernilai RM450,000.

“Bagi membaik pulih rumah nelayan, RM2 juta diperuntukkan di Sabah dengan RM300,000 disalurkan ke Tawau, memberi manfaat kepada 15 keluarga,” jelasnya.

Beliau berkata, kesemua inisiatif itu membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap wira-wira agromakanan negara termasuklah peladang, penternak dan nelayan yang berkorban memastikan rakyat Malaysia tidak berdepan krisis makanan.

 Arthur membuat pelepasan konvoi bermotor yang akan menjelajah ke beberapa daerah di Sabah.
KONVOI: Arthur membuat pelepasan konvoi bermotor yang akan menjelajah ke beberapa daerah di Sabah.

Katanya, Road to HPPNK ini bukan sahaja meraikan jasa mereka, tetapi juga menjadi saluran terbaik untuk menyampaikan dasar dan inisiatif kerajaan secara terus kepada rakyat.

“Saya menyeru semua pihak termasuk jabatan kerajaan, swasta dan komuniti tempatan untuk terus bekerjasama menjadikan Sabah sebagai antara penyumbang utama keterjaminan makanan negara.

“Dengan komitmen berterusan, kita mampu menjadikan sektor agromakanan negara lebih inklusif, lestari dan berdaya tahan,” katanya.

Terdahulu, Arthur turut melepaskan konvoi bermotor Road To HPPNK 2025 yang akan menjelajah ke beberapa daerah di Sabah termasuk Sandakan, Nabawan, Keningau, Papar dan Kota Kinabalu sebelum berakhir di SICC.

Source: https://www.utusanborneo.com.my/2025/07/06/program-road-to-hppnk-platform-terbaik-dekati-komuniti-agro-di-sabah